Jika anda masih baru disini, sila masukkan email anda utk dapatkan update-update terkini setiap hari melalui email dan melanggan Pelesit Selatan blog. Percuma je!

Delivered by FeedBurner

Panduan Memilih Motorsikal Kegunaan Kerja Harian


Naik motor ke pejabat memang best. Tak perlu lagi pening kepala menghadap jem hari-hari. Bajet bulanan untuk minyak dan tol, memang berkali ganda boleh jimat.

Tapi apa yang tak best bila motor yang dibeli tidak sesuai pula dengan keperluan anda yang sebenar. Biasa terjadi kalau pilihan dibuat hanya berdasarkan faktor reka bentuk dan jenama sahaja.

Jadi di sini admin akan kongsikan kelebihan dan kekurangan setiap jenis motorsikal; tapi terhad kepada 3 jenis sahaja iaitu sportbikekapchai(moped) dan skuter memandangkan tiga jenis ini antara motorsikal yang boleh didapati pada harga yang mampu milik lantas sesuai untuk kegunaan seharian.

Jenis Sport


Motosikal Jenis Sport


(+) Prestasi lebih tinggi, dari segi pick up dan top speed.
(+) Tangki minyak yang lebih besar, sesuai untuk penjalanan jauh (200-300km)
(+) Pengendalian lebih stabil terutama di lebuh raya

(-)  Harga yang lebih tinggi, sekitar RM7000 ke RM20,000 untuk jenis mampu milik.
(-)  Kos maintenance yang lebih tinggi, dari segi alat ganti, insurans dan cukai jalan.
(-)  Kurang kemudahan membawa muatan
(-)  Sistem transmisi menggunakan klac manual yang tidak diajar di sekolah memandu (untuk lesen B2)
(-)  Penggunaan bahan api yang ketara lebih tinggi berbanding kapchai, terutama yang berkapasiti 250cc ke atas.

Untuk jenis Sport ini, boleh dibahagi kepada 2 jenis iaitu Naked atau Faired (model ber-fairing) dengan kelebihan dan kekurangan masing-masing.

Naked Sport/Streetfighter
KTM Duke 250 2017
KTM Duke 250 '17
(+) Posisi tunggangan yang selesa dengan kedudukan hendal yang tinggi dan posisi badan menegak
(+) Pengendalian dalam bandar lebih mudah disebabkan aras penglihatan lebih tinggi
(+) Akses ke bahagian enjin yang lebih terbuka, motorsikal nampak gagah (subjektif)
(+) Harga sedikit murah dari model berfairing

(-)  Kurang selesa untuk kelajuan tinggi disebabkan terjahan angin yang kuat di bahagian dada
(-)  Posisi tunggangan yang tinggi kurang stabil semasa mengambil selekoh
(-)  Motorsikal nampak kurang cantik pada pandangan masyarakat yang tidak mampu menilai (subjektif)


Sportbike (Faired)
Kawasaki Ninja 250SL
Kawasaki Ninja 250SL

(+)
 Posisi tunggangan ke arah sporty, hendal lebih rendah dan posisi alas kaki ke belakang
(+) Kurang terjahan angin pada badan penunggang, badan dan lengan direhatkan atas tangki minyak
(+) Boleh mencapai kelajuan lebih tinggi dari model naked dan lebih stabil di selekoh
(+) Motorsikal nampak ala-ala model perlumbaan Moto GP, jadi tarikan mata yang memandang (subjektif)

(-)  Tidak selesa untuk perjalanan di dalam bandar disebabkan tekanan ke atas pegelangan tangan dan posisi tunggangan membongkok boleh menyebabkan sakit belakang.
(-)  Harga lebih mahal daripada model naked
(-)  Lebih sukar untuk maintenance/baik pulih disebabkan fairing perlu dibuka terlebih dahulu (boleh jadi kos upah tambahan)

Untuk model sport ini boleh didapati (sekurang-kurangnya untuk pasaran Malaysia) dari serendah 150cc hingga ke 1400cc. Di sini admin klasifikasikan mengikut harga dan kapasiti enjin serta populariti motorsikal tersebut di jalanan, dan disebabkan ini untuk tujuan penggunaan harian admin hadkan pilihan harga kepada RM25,000 berikutan lingkungan harga ini lebih mudah dijangkau oleh rata-rata penunggang motorsikal di Malaysia - tapi kalau nak juga bawa Ducati Monster atau S1000RR ke pejabat pun tiada masalah, bergantung kepada kemampuan dan cita rasa masing-masing.

 
RM10,000 ke bawah.
Yamaha FZ 150i | 150cc | RM8,500
Demak Skyline | 200cc | RM7,500
Kawasaki KLX150 | 150cc | RM9,500


Naza N5 250cc boleh didapati pada harga bawah RM10,000 sekarang. 

Yamaha FZ150i dan Demak Skyline
Yamaha FZ150i dan Demak Skyline
Model-model terpakai berikut agak popular pada segmen harga ini:
Honda CBR 150R | Kawasaki Ninja 250 | Honda CBR 250 | Naza Blade 250

Dalam segmen ini Yamaha FZ 150i menjadi pilihan disebabkan faktor penggunaan bahan api yang efisien dengan adanya sistem suntikan bahan api. Pengalaman peribadi admin, motorsikal ini mampu berkendara sejauh 320km dengan 8liter petrol (RM18, 2.10/ltr) dan disebabkan admin hanya mengisi minyak di hujung minggu, layak mendapat rebate 5% apabila menggunakan kad kredit.

RM11,000 ke RM16,000
Naza N5 | 250cc | RM13, 000
Naza Blade 250R | 250cc | RM15,000 (terdapat juga versi naked)
KTM Duke 200 | 200cc | RM14,500 (non ABS)
KTM Duke 250 | 250cc | RM18,000 (versi ABS sahaja)
Kawasaki z250SL | 250cc | RM15,000

Pada segmen harga ini kebanyakan motorsikal yang ditawarkan adalah dari model naked, kecuali Naza Blade dan motorsikal terpakai dari model ber-fairing. KTM Duke 200 agak popular di kalangan eksekutif muda disebabkan penampilannya yang unik - di samping faktor jenama KTM yang berasal dari Austria.

Superbike 250cc


RM16,000 ke RM25,000
Kawasaki Ninja 250SL | 250cc | RM16,300 (versi fairing kepada z250SL)
KTM Duke 200 ABS | 200cc | RM16,000
KTM RC200 | 200cc | RM17,000 (versi fairing kepada Duke 200)
KTM RC250 | 250cc | RM19, 500 (versi ABS sahaja)
Yamaha YZF-R25 | 250cc | RM19,000 RM21,000
Kawasaki z250 | 250cc | RM20,000
Naza Blade 650R | 650cc | RM20,000
Kawasaki Ninja 250 | 250cc | RM22,000
Honda CBR250R | 250cc | RM22,000
Honda CBR250RR (harapnya Boon Siew Honda bawa masuk ke pasaran tempatan)

Untuk segmen ini pula, kebanyakan motorsikal yang ditawarkan adalah dari jenis ber-fairing kecuali sedikit motorsikal naked kelas 'premium' dan Naza Blade 650R  yang memerlukan penunggang berlesen B penuh (lesen B2 terhad kepada motorsikal berkapasiti enjin 250cc ke bawah). Antara sportbike dalam kelas ini yang begitu popular ialah Yamaha R25 dan Kawasaki Ninja 250R - dan populariti ini penting kerana turut membantu dalam memberikan harga yang lebih kompetitif di samping alat ganti mudah tersedia lantas memberikan sedikit ketenangan jiwa andai ada perkara yang tidak diingini terjadi (seperti kemalangan, dsb)

Kawasaki Vulcan S650
Kawasaki Vulcan S650. Memang cun.
Jika ingin membeli motorsikal terpakai atau bajet mencapai RM30,000, admin syorkan Kawasaki Versys 650 atau Kawasaki Vulcan S650 (okay, dua-dua ni bukan jenis sportbike tapi jatuh pada julat harga yang sama) kerana kedua-dua ini mempunyai gaya atau karektor yang sesuai dengan mereka yang bekerjaya dan berpangkat tinggi di samping kemudahan alat ganti disebabkan populariti jenama Kawasaki. Benelli TnT 600 antara motorsikal yang semakin popular bagi penunggang di Malaysia tapi disebabkan faktor jenama yang masih baru dan faktor reliabliti dan keberadaan alat ganti, admin syorkan kepada bakal pembeli supaya membuat rujukan dengan pengguna sedia ada. Apa-apa pun di sini, tepuk poket tanya bajet.

Secara peribadi admin berpendapat tunggangan dalam bandar seperti Petaling Jaya, Shah Alam dan Kuala Lumpur lebih sesuai bagi motorsikal yang mempunyai kuasa yang sederhana serta bentuk tubuh yang ramping dan ringan seperti KTM Duke 200 atau Kawasaki z250SL. Disebabkan karekteristik kedua-dua motorsikal ini mengutamakan torque atau dalam kata lain 'pick up' memudahkan kuasa disampaikan setiap kali pendikit dipulas lantas memudahkan tugas memotong kenderaan lain. Motorsikal seperti FZ150i dan Skyline 200 amat sesuai bagi mereka yang mementingkan bajet dan penjimatan cuma kekurangan bagi perjalanan yang melibatkan lebuh raya, walaubagaimanapun dengan kelajuan tunggangan selesa 110kmj-120kmj berbaloi dengan harga dan kos penjagaan mereka yang agak rendah.

Kapchai/Moped


Kapchai/Moped


(+) Penggunaan bahan bakar yang ekonomi, terutamanya bagi model baru yang rata-rata sudah menggunakan sistem pancitan minyak (fuel injection - FI)
(+) Kebanyakkan didatangkan dengan transmisi klac automatik dan rotary gear, memudahkan pengendalian dan penukaran gear bagi penunggang baru
(+) Saiz yang sedikit kecil dan ramping memudahkan pengendalian jarak dekat, terutamanya dalam bandar
(+) Rata-rata boleh dipasangkan raga/bakul. Ada sesetengah model didatangkan dengan ruang simpanan bawah pelana yang besar dan ada yang boleh memuatkan sebiji topi keledar.
(+) Kos penjagaan dan baik-pulih yang rendah

(-) Saiz tangki yang kecil, iaitu 4 liter menghadkan jarak perjalanan ke sekitar 100km lantas perlu kerap ke stesyen minyak.
(-)  Saiz yang kecil membuatkan ia mudah ditampar angin, agak tidak selesa untuk penggunaan di lebuh raya
(-)  Sering dikaitkan dengan budaya mat rempit mungkin membuatkan anda dipandang rendah oleh rakan sekerja (subjektif)

Rata-rata mereka yang memilih kapchai adalah yang mementingkan bajet dan ruang simpanan. Dengan harga sekitar RM4,000 hingga RM6,500, boleh dikira mampu milik bagi mereka yang berpendapatan rendah dan sederhana. Disebabkan saiz mereka yang agak kecil dan ringan, mudah ditunggang oleh pelbagai peringkat umur, baik mereka yang di bangku sekolah rendah atau yang sudah bergelar atuk. Kekurangan bagi kapchai ini adalah disebabkan saiz tangki minyak yang kecil, menyebabkan penunggang perlu kerap ke stesyen minyak dan mudah kehabisan minyak di tengah jalan.

Antara model yang begitu popular adalah Yamaha LC135 yang didatangkan dengan 2 versi, Super Sport yang mempunyai 4 kelajuan dan klac automatik, Extreme Spirit yang menggunakan klac manual dan transmisi 5 kelajuan. Perbezaan jika menggunakan klac manual ialah pemindahan kuasa yang lebih lancar, ini boleh dirasakan apabila menukar gear semasa dalam kesesakan lalu lintas dan rata-rata penunggang bersetuju klac manual memberikan pikap yang lebih.

Honda RS150R
Honda RS150R

Untuk yang menginginkan lebih kuasa, Yamaha dan Honda kini menawarkan moped bersesaran 150cc dalam bentuk Y15ZR dan Honda RS150R. Dari pengamatan dan pengalaman admin, kedua-dua moped ini cukup berkuasa dengan konfigurasi standard. Walaupun ada yang mengatakan Honda RS150R mempunyai kelebihan berikutan menggunakan enjin DOHC, jika dinilai secara keseluruhan kedua-duanya tidak mempunyai perbezaan ketara baik dari segi performance dan gaya. Harga yang ditawarkan juga amat kompetitif, bermula daripada RM8,900. Kelebihan utama pada Yamaha Y15ZR terlihat kepada mudahnya modifikasi memandangkan kebanyakan bahagian enjinnya boleh dipadan dengan bahagian aftermarket/perfomance untuk Yamaha FZ150i.
Yamaha Y15ZR Moviestar
Yamaha Y15ZR

Model baru Honda EX5 Fi
Model baru Honda EX5 Fi

Bagi mereka yang pentingkan ekonomi dan gaya, Honda Ex5 masih ditawarkan dengan wajah yang diperbaharui di samping Yamaha Lagenda dan Suzuki Smash yang kini didatangkan dengan sistem suntikan bahan api (model Fi). Untuk yang memerlukan ruang simpanan lebih besar, boleh cuba Honda Future yang menyediakan ruang simpanan bawah pelana yang cukup besar hingga mampu menyimpan sebuah helmet fullface. Bagi yang inginkan prestasi dan gaya, terdapat pilihan seperti Suzuki Shogun Axelo yang didatangkan dengan versi klac manual tetapi hanya 4 kelajuan dan Honda Wave Dash yang berpenampilan ranggi dengan corak ala motorsikal berkuasa tinggi.

Skuter
(+) Menggunakan transmisi automatik, amat mudah dikendalikan oleh penuggang kurang mahir
(+) Rata-rata mempunyai pikap yang lebih tinggi pada kelajuan rendah jika dibandingkan dengan kapchai yang mempunyai kapasiti enjin yang sama
(+) Kebiasaannya didatangkan dengan ruang simpanan bawah pelana yang agak besar maka tak perlu menggunakan raga/bakul justru mudah dinaiki oleh gadis-gadis yang memakai kain/skirt atau pak-pak lebai yang berkain sarung/jubah.

(-)  Maintenance yang lebih sedikit daripada kapchai disebabkan penggunaan transmisi automatik.
(-)  Kelajuan maksima yang lebih rendah jika dibanding dengan kapchai berkapasiti enjin yang sama

Suzuki VS125, ikon skuter terdahulu
Suzuki VS125, ikon skuter terdahulu

Skuter pernah menjadi begitu popular sekitar 5-7 tahun yang lepas tetapi atas faktor-faktor yang tidak dapat dikenal-pasti, mereka semakin ditenggelami zaman. Yang masih popular sekarang ini, Yamaha Nouvo LC dan Yamaha Ego LC yang mana boleh dikatakan kacukan kapchai disebabkan penggunaan saiz roda mereka yang lebih besar, 16" dan 14" jika dibanding dengan 12" dan 10" pada skuter lain.
Antara skuter yang cukup popular buat masa ini, Vespa Primavera 150 dan Honda PCX 150 menjadi pilihan mereka yang pentingkan gaya dengan harga yang ditawarkan sekitar RM12,000.

Skuter Maxi
Elegan 250. Senjata terbaru daripada Modenas.
Elegan 250. Senjata terbaru daripada Modenas.
Pada masa ini juga penggunaan skuter berkuasa tinggi a.k.a Skuter Maxi agak popular terutamanya daripada jenama SYM, hinggakan Modenas turut bekerja-sama dengan Kymco (syarikat permotoran Taiwan) dengan melancarkan Modenas Elegan 250 terbaru dengan harga yang amat menarik iaitu daripada RM12,500 sahaja. (untuk skuter bersesaran 250cc, ini boleh dikira agak murah)
Berikut merupakan kelebihan dan kekurangan untuk skuter maxi ini.

(+) Saiz penghadang angin yang tinggi mengurangkan tamparan angin di samping penunggang masih mengekalkan posisi tunggangan tegak
(+) Amat stabil semasa kelajuan tinggi di lebuh raya (kelajuan 140kmj-160kmj mudah dicapai oleh skuter ini)
(+) Ruang simpanan lebih banyak dan lebih besar, biasanya didatangkan dengan glove box dan ruang bawah pelana yang sungguh besar boleh dimuatkan budak berumur 3-4 tahun.
(+) Amat selesa untuk tunggangan bersama pembonceng

(-)  Harga dan kos penjagaan yang lebih tinggi
(-)  Saiz yang besar menyukarkan pengendalian dalam bandar, seperti menunggang sportsbike ber-fairing cuma masih mengekalkan posisi tegak
(-)  Kurang selesa untuk pembonceng memanjat ke pelana belakang yang tinggi.

MaxSYM 400i
MaxSYM 400i di jalanan
Didatangkan dengan kapasiti enjin bermula dari 200cc, boleh dikatakan skuter-skuter ini cukup berkuasa untuk menempuh perjalanan di lebuh raya. Pengalaman peribadi admin menggunakan SYM VTS200, skuter ini mampu mencapai kelajuan 140kmj dengan selesa dibantu oleh penghadang angin yang tinggi mengurangkan kesan tamparan angin. Disebabkan saiz skuter ini yang besar dan atas faktor aerodinamik, ia dirasakan lebih stabil semasa ditunggang di lebuh raya dan memotong kenderaan besar seperti lori. Skuter ini amat sesuai ditunggang bagi mereka yang dewasa dan berkeluarga manakala kelihatan janggal apabila ditunggang oleh mereka yang bersaiz kecil. Bagi yang inginkan lebih kuasa dan mempunyai lesen B penuh, SYM turut menawarkan MaxSYM 400i pada harga Rm26,000 tapi jika bajet menjadi kekangan, pilihan yang rasa paling berbaloi adalah Modenas Elegan seperti yang penulis nyatakan di awal tadi.


Penutup
Dapat kita lihat, cukup banyak pilihan bagi kita pengguna dalam memilih motorsikal yang bersesuaian bagi tunggangan harian ke pejabat. Apa-apa pun, motorsikal-motorsikal ini hanya alat dan bergantung kepada kita bagaimana mahu menunggangnya. Amalkan tunggangan yang selamat dan patuh pada undang-undang jalan raya. Sekian, harap artikel kali ini dapat dimanfaat seadanya dan jika ada kesilapan fakta atau cadangan boleh disalurkan di ruangan komen di bawah.

Sumber: zamiryusof.blog

Pembaca juga menyukai Artikel ini >>  10 Motosikal Legenda Suzuki di Malaysia Tinggal Kenangan

No comments:

Post a Comment