Jika anda masih baru disini, sila masukkan email anda utk dapatkan update-update terkini setiap hari melalui email dan melanggan Pelesit Selatan blog. Percuma je!

Delivered by FeedBurner

10 Motosikal Legenda Suzuki di Malaysia Tinggal Kenangan


Motosikal Suzuki Malaysia


Sangat menyedihkan apabila mendapat tahu Suzuki Malaysia terpaksa menutup operasi pengeluaran di negara ini selepas berdekad lama mewarnai industri motosikal tempatan dengan pelbagai jentera bertaraf legenda. Apa yang anda ingat tentang motosikal Suzuki?

Bagi peminat motosikal, terutama kapcai di Malaysia sekitar 80 dan 90-an, nama Suzuki memang begitu gah dan berdiri sebaris dengan jenama lain seperti Honda dan Yamaha. Malah, tiga jenama itu diakui mempunyai kekuatan tersendiri. Honda misalnya terkenal dengan jentera yang lasak, Yamaha hebat dengan kelajuan, dan Suzuki pula sudah tentu dengan tunggangan menyeronokkan.

Di bawah ini kami senaraikan motosikal legenda Suzuki yang banyak meninggalkan kenangan manis kepada peminat motosikal tempatan. Sayonara Suzuki! Terima kasih kerana pernah menjadi sebahagian sejarah automotif negara ini.

1. Suzuki Best 110

Pelesit Selatan Suzuki Best

Inilah rekabentuk awal moped 2-lejang 90-an di Malaysia. Menarik tentang Suzuki Best 110 ialah penampilan moped ini yang masih kuat dengan imej sebuah motosikal ‘Jepun’ menerusi gabungan desain skuter dan kapcai. Lihat saja rekabentuk bahagian depan (kapcai) dan belakang (skuter). Anda belum cukup true Suzuki jika tidak kenal Suzuki Best!

2. Suzuki Panther

Panter Jerung Polis

Tidak diketahui kenapa motosikal berkapasiti 150cc ini menjadi pilihan unit operasi jalanan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sekitar era 90-an hingga digelarkan ‘motor otet’. Otet merujuk kepada polis cawangan khas (SB) atau perisik.

Mungkinkah kerana Panther berwarna hitam yang memudahkan operasi serang hendap dilakukan? Ataupun PDRM mahu tampil berbeza daripada imej penunggang awam atau mat motor yang ketika itu kebanyakannya menunggang model Yamaha. Kehadiran penunggang Panther pada tengah malam atau awal pagi sering dianggap sebagai sengaja mahu ‘bakar line’ supaya mat rempit berlumba sebelum mereka diserbu dan dicekup oleh pasukan polis beruniform.

3. Suzuki TXR150

Suzuki TXR150

Selepas Panther, Suzuki mengeluarkan TXR150R yang juga terkenal dengan panggilan Jerung. Sebenarnya jerung merujuk kepada edisi khas yang datang dengan kowl depan seperti sirip jerung, tetapi istilah itu digunakan juga secara meluas sebagai merujuk kepada generasi kedua Panther. Kata nama ‘Jerung’ juga boleh jadi diambil daripada terjemahan Suzuki Shark 150 yang bermaksud jerung. Sangat mirip seperti Panther, tetapi antara identiti khas ketara Jerung ini ialah frem kelabu dan strip badan tertulis TXR150.

4. Suzuki Gamma

Suzuki Gamma txr150

Suzuki Gamma atau TXRr150 ialah generasi terakhir Panther dengan tanda nama TXRr pada strip badan. Model ini datang secara naked dan lebih diterima umum, terutama anak-anak muda berbanding model terdahulu. Di atas jalan, motor inilah lawan sebenar Yamaha RX-Z. Bagaimanapun, produksi Gamma cuma bertahan setakat 1997.

5. Suzuki VS125

Suzuki Vs125

Inilah satu-satunya skuter yang menyebabkan ‘mat scoot’ semalaysia dipandang tidak puas hati oleh mat kapcai. Apa tidaknya, dengan kapasiti enjin 125cc, Suzuki VS125 mampu meninggalkan mana-mana kapcai standard secara senyap dan bersahaja.

Skuter VS125 juga mencetuskan penubuhan pelbagai kelab skuter di Malaysia yang terkenal dengan trend mewarnakan set badan motosikal menggunakan teknik berus angin (air brush). Tidak cukup mewarna, pemilik VS125 juga cenderung menambah set audio yang mampu menandingi kekuatan bunyi pembesar suara motor penjual aiskrim Mat Kool.

Kegilaan modifikasi mencecah ratusan hingga ribuan ringgit itu membuatkan pemilik VS125 sering dianggap sebagai anak orang kaya. Malah, ramai juga mengakui majoriti gadis yang menunggang VS125 berwajah cantik dan pandai bersosial.

6. Suzuki RG Sports 110

RG Sports 110

Jika mahu bercerita tentang kapcai Suzuki, tidak lengkap rasanya jika tidak menyebut Suzuki RG Sports 110, yakni jenama jentera dua roda yang pernah menempa kegemilangan di kalangan peminat motosikal tempatan sekitar era 1990-an.

Dikenali sebagai moped sempurna pada zaman kemuncaknya, sebutlah apa saja tentang RG Sports, segalanya sentiasa superior berbanding lawan dalam kelas sama. Apa tidaknya, RG-Sport ialah moped pertama yang datang dengan ciri yang mendahului zaman seperti meter rpm, penyerap hentak tunggal atau monoshock, transmisi 5-kelajuan dan penampilan casis deltabox dan peletak kaki belakang jenis gantung, termasuk fitur tipikal motosikal 2-lejang seperti brek cakera depan.

7. Suzuki FX125

Suzuki Fx125

Ketika pertama kali dilancarkan pada 1998, Suzuki FX125 bagaikan makhluk asing yang baru turun dari angkasa. Dalam kelas sama, motosikal ini nyata mendahului zaman. Sebagai rekod, FX125 ialah moped 4-lejang pertama yang datang dengan transmisi manual 5-kelajuan (juga dipanggil klac basah atau mati), termasuk anjakan transmisi jungkit balik (1 depan, 4 belakang). Tidak cukup dengan itu, FX125 tampil dengan teknologi DOHC dan sistem penyejukan minyak.

FX125 dikeluarkan pada tahun sama Yamaha mengeluarkan moped 2-lejang legendanya, 125Z. Mungkin kerana ciri 4-lejang yang sinonim sebagai motosikal tidak laju dan kurang ‘ganas’ membuatkan FX125 kurang laris di pasaran. Tambahan pula harganya yang agak mahal, menghampiri harga sebuah naked bike seperti RX-Z.

Namun, di pasaran motosikal terpakai, jangan terkejut melihat harga FX125 tidak pernah kurang daripada angka RM3,500 walaupun usia sudah mencecah 18 tahun! Jika Y125Z terkenal dengan julukan King of Moped, FX125 pula  ialah Queen of Moped.

8. Suzuki FXR150

Suzuki FXR150

Ini ialah abang kepada FX125 yang juga muncul mendahului zaman. Apa yang pertama tentang Suzuki FXR150? Inilah sports bike 4-lejang pertama di Malaysia dengan teknologi DOHC. Penampilan paling ‘gila’ dilakukan Suzuki ke atas sports bike ini ialah meter digital yang sehingga kini pesaing lain masih teragak-agak mahu menggunakannya!

Sekali lagi harga menjadi isu utama yang menghalang peminat motosikal memiliki jentera ini. Lagipun FXR150 cuma sebuah sports bike 4-lejang. Pada zaman itu, kecuali EX-5 dan seangkatan dengannya, motosikal 4-lejang lain memang susah mendapat tempat di hati pembeli jentera dua roda Malaysia.

9. Suzuki RGV120

Suzuki RGV120


Suzuki RGV120 ialah kapcai yang dikeluarkan susulan populariti RG Sports 110. Muncul dengan rekabentuk badan mirip RG Sports, cuma lampu utama RGV120 berbentuk bulat seperti model Suzuki GSX110, manakala lampu belakang juga direka kecil, sekali gus memberikan profil kompak berbanding model RG Sports yang lebar dan leper. Semua model RGV120 didatangkan dengan  transmisi manual sepenuhnya berserta 6-kelajuan.

10. Suzuki RC80

Suzuki RC80

Diperkenalkan lewat 80-an dan antara pesaing kepada barisan Honda cub. Bersama rekabentuk tradisional kapcai 80-an, Suzuki RC80 dibekalkan enjin 2-lejang dan transmisi automatik 4-kelajuan. Motosikal ini sangat digemari pomen dan anak muda kerana mudah dibikin selain ciri kemerduan bunyi ekzos ‘semprit’ yang dihasilkan.

Sumber : Pandulaju.my

Pembaca juga menyukai artikel ini >> Cara Modified Dan Dapatkan Topspeed Terbaik Untuk Y15zr

No comments:

Post a Comment